KUALA LUMPUR: Seorang peniaga telefon bimbit yang menjalankan urusan perniagaan di ‘alam maya’ dengan seorang lelaki warga China menanggung kerugian RM100,000 selepas ditipu lelaki terbabit.
Mangsa terpedaya dengan helah itu setelah membaca artikel penjualan telefon bimbit pada 7 November lalu sebelum menghubunginya. Setelah yakin dengan penjelasan yang diberikan, mangsa yag berusia 30-an dan mempunyai perniagaan menjual telefon bimbit di pusat beli-belah di ibukota bersetuju sebelum memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun lelaki terbabit.
Sumber berkata, urusan jual beli telefon bimbit pertama dibuat antara mangsa dan rakannya ialah pada 21 November lalu dan mangsa memasukkan RM5,000 ke akaun rakannya di China untuk membeli 20 telefon model Apple iPhone. Tiga hari kemudian barang dipesan tiba di pejabat rakannya kira-kira jam 12:30 tengahari di SS15, Subang Jaya.
” Mangsa sekali lagi membuat tempahan 30 telefon bimbit iPhone dan memasukkan RM45,000 ke akaun lelaki terbabit dan barang yang dibeli tiba pada masa yang dijanjikan.” katanya. Bagaimanapun, tempahan kali ketiga yang dibuat mangsa pada 2 Disember lalu tidak menjadi kenyataan apabila barang yang dipesan itu tidak diterima.
Mangsa memasukkan RM100,000 ke akaun lelaki terbabit untuk membeli 40 lagi telefon bimbit. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Hse Lee, Khamis lalu..
Sumber Berita : Harian Metro 24 Disember, 2008 ; mukasurat 23