Category Archives: Artikel

Apa itu Webhosting?

Harini saya ingin menceritakan tentang webhosting. Saya seringkali ditanya, ” webhosting itu apa?”. Bagi mereka yang telah sudah sedia ada gambaran mengenainya, amat mudah untuk saya jelaskan. Tetapi bagi mereka yang agak baru dalam dunia siber, perkara ini amat mengelirukan.

Baiklah, saya akan memberi analogi yang cukup simple supaya anda mudah faham. Katakan kita mahu membina dan memiliki laman web. Kita sebenarnya amat terikat dengan 3 komponen yang akan saya jelaskan di bawah.

  1. Laman Web (Rumah@pejabat@premis perniagaan)
    Secara analoginya, kita boleh menganggap bahawa laman web itu seperti rumah atau pejabat kita. Bagaimana rumah dibina?apa peralatan dan bahan yang digunakan?. Sudah semestinya kita memerlukan contohnya simen, kayu dan yang sewaktu dengannya untuk membina rumah kita. 

    Begitu juga dengan laman web, kita memerlukan peralatan pembangunan laman web yang khusus seperti  Dreamweaver, Frontpage dan lain-lain. Laman web kita itu boleh berbentuk html, php, asp dan sebagainya.

  2. Nama Domain (Alamat rumah)
    Nama domain pula bolehlah di anggap sebagai alamat rumah dan amat penting untuk memastikan pelawat dapat menjumpai dan memasukinya atau dengan kata lain mengakses laman web anda  itu. Nama domain boleh dibeli dari mana-mana penjual domain atau lebih di kenali sebagai “Pendaftar Nama Domain” yang terdapat di internet. Harga domain kebiasaannya bermula serendah RM35 setahun hinggalah RM150 setahun. Sekiranya anda tidak mempunyai nama domain, ibaratnya anda membina rumah tanpa alamat.
  3. Webhosting(Tapak rumah)
    Webhosting pula boleh di anggap tapak/tanah bagi rumah anda. Tanpa tanah, anda tidak boleh mendirikan rumah idaman anda. Oleh sebab itu anda memerlukan webhosting sekiranya mahu memiliki sebuah laman web. Webhosting ini sebenarnya merupakan komputer yang mempunyai sambungan ke internet 24 jam sehari. Komputer ini lebih di kenali sebagai Server yang mana ia berangkaian antara satu sama-sama. Kita hanyalah perlu menyewa ruang komputer atau server ini daripada penyedia webhosting yang ada di internet. Contoh webhosting yang bagus ialah NetKl.com. Blog rahsiasiber ini telah mengunakan webhosting dari pihak Netkl.com sejak 3 tahun yang lepas. :-) .

Harap anda jelas dengan konsep dan penerangan ringkas berkenaan Webhosting.

  • Laman Web = Rumah / Pejabat
  • Nama Domain = Alamat Rumah / Pejabat
  • Webhosting = Tapak Rumah / Pejabat

p/s – Maklumat berkaitan:

Info tentang nama domain boleh rujuk disini – Nama Domain

Info tentan server boleh rujuk disini – Server

Apa itu nama domain?

Salam Hormat,

Maaf ye sebab lama tak menjenguk blog ini. Emm, kali ini saya akan kongsikan info berkaitan dengan nama domain atau domain name (sama je cuma yang ni dalam bahasa inggeris.hehe).

Secara mudahnya, nama domain ialah alamat laman web yang anda taip apabila ingin mengakses (melawat) sesebuah laman web. Sebagai contoh, anda mahu melawat laman web Rahsiasiber.com, maka anda akan menaip www.rahsiasiber.com pada browser yang anda gunakan.

 

Domain ini terbentuk dari turutan nombor yang kita panggil sebagai IP address. Domain lebih mudah digunakan dan diingati berbanding IP address yang terdiri daripada nombor-nombor yang unik.

Di alam siber, domain di ibaratkan  seperti alamat sebuah rumah di mana satu rumah hanya mempunyai alamatnya tersendiri. Dalam erti kata lain, alamat tersebut hanya khas untuk rumah itu je, dan tiada alamat yang sama di tempat lain. Contoh paling mudah ialah alamat rumah anda yang mana alamat itu hanya untuk rumah anda sahaja, bukan untuk rumah orang lain.

Contoh domain name adalah seperti berikut:

www.google.com.my
www.yahoo.com
dan banyak lagi..

Sekian sahaja untuk kali ini. Insyaallah saya akan kongsikan info yang lebih mendalam berkenaan dengan domain name ini pada masa akan datang.

jumpa lagi.

Apa itu RSS dan cara menggunakannya

Harini saya ingin bercerita tentang RSS. Apa sebenarnya RSS ? RSS adalah singkatan bagi Really Simple Syndication atau dipanggil juga Rich Site Summary. Mengapa perlunya RSS ? Bagaimana cara untuk menggunakannya? Ok. Saya akan terangkan dengan bahasa yang mudah difahami. :-)

RSS adalah satu teknologi web yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu maklumat dengan lebih mudah dan peratus kesampaiannya (delivery) ke emel ‘prospek’ atau pembaca adalah menghampiri 100%. RSS adalah antara cara lain bagaimana mahu mengelakkan emel yang dihantar kepada ‘prospek’ atau bakal pembeli atau pembaca blog kita tidak masuk ke dalam bahagian bulk folder emel (dianggap spam). Macam mana, faham?

Sekarang kita sentuh pula kegunaan RSS. RSS sebenarnya amat menyeronokkan jika anda menggunakannya. Salah satunya ia amat berguna jika anda mempunyai banyak blog untuk dilawati setiap hari. Oh ya, katakan anda mempunyai 10 blog atau mungkin lebih blog untuk dilawati setiap hari, tentunya anda mungkin menaip di browser internet atau membuka link bookmark setiap kali ingin mengetahui sama ada sesebuah blog itu mempunyai artikel yang baru atau tidak tetapi dengan teknologi RSS anda tidak perlu melakukan cara itu lagi. Cara ‘Manual’ ini mungkin akan memakan masa yang lama jika anda mempunyai lebih dari 1o blog untuk dilawati setiap hari. Sekarang, dengan RSS masa anda akan dapat dijimatkan dan memudahkan lagi kerja anda.

Bagaimana pula untuk menggunakannya? Ok. Sebelum itu saya mahu terangkan lagi tentang RSS ini. RSS memerlukan aplikasi untuk berfungsi. Salah satu aplikasi yang bagi RSS ini ialah RSS Reader. Ia terdiri daripada dua jenis iaitu berasaskan Web dan juga Desktop (perlu install pada komputer). Pada artikel ini saya hanya akan tunjukkan aplikasi berasaskan web iaitu RSS Google Reader yang boleh diakses menggunakan akaun Google anda. Jika anda belum mempunyai akaun Google, anda boleh daftar di sini . Untuk pengetahuan anda, dengan mendaftar akaun Google, anda dapat menggunakan semua perkhidmatan Google seperti Gmail, blogger, adsense dan banyak lagi hanya dengan menggunakan satu username dan password sahaja.

RSS Reader akan memaparkan artikel terkini dari blog kegemaran anda jika ada. Ini akan menjimatkan masa kerana anda tidak perlu pergi dari satu blog ke blog yang lain untuk melihat sama ada blogger terbabit menulis artikel baru atau tidak. Tunggu je RSS Reader mengumpul dan memaparkan artikel terbaru terus dari blog kegemaran anda itu. Mudah bukan? :-)

Anda mungkin dapat melihat separuh atau artikel penuh pada RSS Reader. Hal ini bergantung kepada ketetapan yang telah dilakukan oleh pemilik blog atau laman web. Jika artikel yang dipaparkan adalah separuh, anda perlu juga pergi ke blog berkenaan untuk membaca ‘baki’ tulisan tersebutdan begitu juga jika anda ingin memberikan komen tentang artikel tersebut  anda perlu terus ke blog berkenaan.

Sekarang, saya akan tunjukkan cara untuk menggunakan aplikasi Google Reader. Jom!

  1. Buka http://google.com/reader
    Jika anda telah Login, anda akan terus dibawa ke bahagian aplikasi RSS Reader. Jika belum Login, anda perlu login melalui username dan password akaun Google anda.
  2. Google Reader

  3. Klik pada menu add a subscription:
  4. <

  5. Masukkan URL RSS Feed bagi blog kegemaran anda.
    Ops, bagaimana nak tahu URL RSS atau secara spefisiknya dipanggil Feed URL?
    Mudah sahaja, antara caranya adalah, jika blog kegemaran anda itu menggunakan WordPress, maka hanya letakkan /feed di hujung URL blognya. Contohnya blog Rahsia Siber ini URL-nya adalah http://www.rahsiasiber.com, jadi feed URL adalah http://www.rahsiasiber.com/feed. Cara lain adalah, biasanya blogger (tuan milik blog) akan meletakkan button berwarna oren atau link yang menyatakan ‘Subscribe Our RSS’ seperti ini:

  6. Nampak tak button RSS yang bewarna oren tersebut? Klik kanan dan copy link URL RSS di button tersebut. Kemudian, paste ke dalam bahagian RSS Reader anda.
    * Alternatif lain ialah dengan bertanya kepada pemilik blog.
  7. Kemudian paste URL feed tadi ke bahagian Add Subscription dan tekan Add:
  8. Secara automatik, jika URL Feed yang anda masukkan tadi betul, anda akan dipaparkan dengan senarai artikel daripada blog tersebut. Anda boleh pilih bagaimana mahu memaparkan senarai artikel sama ada secara expand atau list view:

    Di bawah adalah bentuk List view:

    List View

  9. Anda boleh cuba Add blog lain dan untuk melihat satu demi satu blog melalui RSS Reader Google ini, gunakan menu di sebelah kiri:
Seterusnya, saya serahkan kepada anda untuk mencuba-cuba RSS Reader itu secara sendiri. Saya hanya ‘tunjukkan jalan’ sahaja. Cubalah, ia amat berguna untuk anda sebagai pembaca blog, lebih-lebih jika banyak buah blog yang perlu dibaca setiap hari. Ia bukan hanya untuk mengetahui ada artikel baru atau tidak, malah anda boleh membaca artikel dari blog itu terus di RSS Reader. Selamat mencuba.

Akhir kata, jimatkan masa anda dengan menggunakan RSS Reader! Jadilah pembaca yang bijak. :-)

Wassalam.

cara membuat email di google

Hai Pembaca Rahsia Siber,

Harini saya ingin berkongsi tutorial asas cara membuat email gmail iaitu servis email yang disediakan oleh pihak Google. Email ini sangat mudah digunakan dan yang paling penting ianya adalah percuma! :-)

Baiklah. Saya akan tunjukan langkah demi langkah cara untuk membuat email gmail ini.

  1. taip www.gmail.com pada ruangan address di browser internet. Paparan seperti di bawah akan muncul.
  2. Kemudian anda klik pada butang ” Create an account” yang akan membawa anda ke paparan berikut.
    Klik gambar untuk melihat contoh cara mengisi borang tersebut.
  3. Isi borang tersebut dengan lengkap seperti yang diminta oleh pihak Google. Setelah selesai mengisi maklumat dengan lengkap, klik butang ” i accept. create my account.” Sekirannya berjaya, paparan seperti berikut akan muncul..
  4. Tahniah kerana anda telah berjaya membuka akaun Gmail sendiri. Klik “Show me my account” dan anda akan dibawa ke paparan akaun gmail anda yang telah dibuat sebentar tadi.

Tahniah sekali lagi kerana anda telah berjaya membuka akaun email Gmail. Servis email Gmail yang dimiliki oleh Google ini amat mudah digunakan dan mempunyai banyak menu atau aplikasi  yang saya kira sangat bermanfaat untuk kita semua. Antara aplikasi tersebut ialah Calendar, Documents, Web, Readers dan banyak lagi.

Contohnya aplikasi documents yang amat berguna untuk kita membina dan menyimpan dokumen seperti Words, Excel dan lain-lain secara online dan menariknya kita mampu mengakses dokumen tersebut di mana sahaja asalkan mempunyai komputer dan talian internet. Hebat kan?

Oh ya, sebelum terlupa ingin saya ingatkan supaya anda “Sign out” akaun gmail anda setiap kali selesai menggunakannya. Butang Sign out berada pada bahagian atas kanan akaun gmail anda. Jangan lupa Sign out untuk keselamatan anda. Mana lah tahu kan mungkin ada orang lain akan akses akaun gmail dan menyalahgunakan email tersebut untuk tujuan keburukan. Perkara ini biasa terjadi terutamanya bagi pengguna komputer di cyber cafe dan sebagainya. Jadi, berhati-hati ok!

” macam mana pula cara nak masuk ke akaun gmail kita semula?”

Begini caranya, taip www.gmail.com pada browser internet komputer anda dan isi username dan password yang telah anda gunakan semasa pendaftaran email tersebut. Pastikan juga anda mengisi nama email anda tanpa @gmail.com. Contohnya email saya tutorialsiber@gmail.com dan saya hanya perlu isi tutorialsiber sahaja pada ruangan username. Setelah selesai, klik butang Sign in. Tada!! Anda berjaya masuk ke akaun Gmail dengan selamatnya. :-)

Ok.Sampai di sini sahaja tutorial untuk kali ini. Saya akan sentuh tentang aplikasi Google yang lain pada masa akan datang. Selamat mencuba.

P.S : Jangan lupa kongsi tutorial ini bersama kawan-kawan facebook yang lain dengan mengklik butang “like” @ “suka” di bawah. :-)

Tips Facebook : Menambah Berita RSS website ke My Notes

Hai Pembaca Rahsia Siber semua,

Harini saya ingin berkongsi tentang cara-cara menambah berita dari sesebuah laman web atau blog ke Notes pada profile facebook atau facebook page.Kaedah ini membolehkan anda berkongsi infomasi pada facebook anda bersama rakan-rakan. Fungsi ini amat berguna bagi pemilik laman web atau blog kerana dengan kaedah ini anda tidak perlu copy/paste info dari web ke Notes di facebook. Ini kerana setiap kali anda kemaskini laman web , info tersebut akan terpapar di Notes secara automatik! Hebat bukan?

Kaedah ini juga sesuai untuk anda yang tidak mempunyai laman web sendiri tetapi mahu  mengikuti perkembangan laman web yang anda minati atau sebagainya. Setelah diaktifkan, anda akan dapat mengikut perkembangan laman web tersebut tanpa perlu melawat laman web berkenaan. Ini kerana setiap kali pemilik laman web mengemaskini laman webnya, anda akan menerima info tersebut secara automatik ke Notes.

Ok. Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah dengan mencari URL laman web yang dikehendaki dan kemudian ikut setiap langkah yang akan saya tunjukkan sebentar lagi..

Langkah kedua. Buka profile anda dan perhatikan paparan seperti di bawah.

Klik Tab Notes dan anda akan di bawa ke paparan seterusnya.

Kemudian kilk pada Edit import settings. Menu ini terdapat pada sidebar sebelah kiri. Seterusnya paparan berikut akan muncul.

Masukkan URL anda dalam kotak yang telah disediakan. Selepas itu ikut langkah 2 dan 3 seperti dalam paparan di atas. Setelah butang Start importing diklik, proses kemaskini Notes akan berjalan. Tunggu sehingga selesai. Hasilnya adalah seperti paparan di bawah.

Jika berjaya, paparan Notes anda adalah seperti di atas. Selepas ini setiap kali anda mengemaskini web atau blog, info tersebut akan muncul secara automatik di Notes anda. Selamat mencuba.

Cara mendapatkan definisi perkataan di enjin carian google

Salam pembaca Rahsia Siber semua,

harini saya ingin berkongsi tentang satu teknik mudah untuk kita mencari definisi perkataan berbahasa inggeris (setahu saya buat masa sekarang bahasa melayu tidak dapat digunakan)  di internet dengan menggunakan enjin carian google.com. 

Baiklah. Katakan saya ingin mencari definisi bagi perkataan computer. Jadi saya akan mengunakan arahan berikut di enjin carian google:

define:computer 

kata kunci define adalah kod operator yang memberi arahan kepada google untuk memberikan definition kepada perkataan yang kita taip sebentar tadi.

kaedah ini akan mencepatkan tugas kita mendapatkan definisi perkataan yang diingini tanpa membuka kamus!

Hasilnya adalah seperti dibawah ini:

Selamat mencuba.

Jenayah Siber – Jangan Jadi Mangsa Pembuli Siber

Tip elak remaja jadi mangsa kes serangan peribadi, emosi

PADA era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini, timbul istilah pembuli siber yang menjadi satu lagi gejala tidak bermoral yang secara senyap merebak hingga menjadi barah kepada masyarakat dunia.

Apa yang membimbangkan, era tamadun tinggi dan kemajuan teknologi tidak lagi berupaya menyekat barah gejala pembuli daripada terus mencari ruang dan peluang memuaskan naluri mereka membuli pihak yang lebih lemah. Jika dulu, sering kali kedengaran masalah disiplin di sekolah membabitkan kumpulan pelajar yang membuli pelajar lain, kemudian sekitar 1990-an pembuli jalan raya pula berleluasa. 

Bagaikan tiada kesudahan, keadaan makin parah selaras dengan kecanggihan teknologi telekomunikasi apabila aktiviti membuli menyerap masuk ke dunia siber. Alam siber sepatutnya menjadi gelanggang kepada orang ramai memperoleh pelbagai manfaat untuk meningkatkan kualiti kehidupan. 

Dengan menggunakan kelebihan pada ruang maya ini, pembuli bagaikan mempunyai ruang yang tiada sempadan untuk dimanipulasikan bagi memuaskan naluri mereka sehingga kadang-kala tergamak memuat turun gambar atau video yang bertujuan memalukan dan mengganggu ketenteraman hidup pihak lain. 

Secara asasnya, pembuli siber boleh diterjemahkan sebagai aktiviti individu yang dilakukan dengan niat mendatangkan kemudaratan kepada individu lain menerusi mana-mana saluran komunikasi termasuk internet dan telefon bimbit. 
Ketua Perniagaan Norton Asia Tenggara, Effendy Ibrahim berkata, lazimnya kegiatan membuli dilakukan golongan remaja lelaki atau perempuan dan kumpulan dewasa bermasalah dengan mengganggu, menakut-nakutkan dan memalukan pihak lain menerusi SMS, e-mail, pesanan ringkas ruang chat, ruangan sosial dan laman web termasuk permainan atas talian. 

Beliau berkata, walaupun di Malaysia gejala ini tidak serius seperti di luar negara, benih pembuli sosial sudah mula bercambah apabila semakin ramai remaja dan golongan dewasa yang menyalurkan kemarahan mereka dengan menyalah gunakan teknologi komunikasi ini untuk kepuasan sendiri. 

Effendy berkata, sebagai contoh, baru-baru ini ada laporan golongan remaja tempatan yang membuli dan menggunakan kekerasan hanya kerana tidak berpuas hati dengan permainan multimedia yang dimain bersama rakan lain secara dalam talian. 

“Bahkan kita kemudian dijamu dengan aliran video dalam talian sebuah laman interaktif terkenal yang memaparkan keganasan sekumpulan pelajar perempuan sekolah menengah memukul pelajar lain serta pembabitan dua remaja bertumbuk sehingga berdarah. 

“Walaupun tiada bukti kukuh aktiviti ini berpunca daripada ketidakpuasan hati antara kumpulan remaja, ia sedikit sebanyak membuktikan budaya remaja zaman ini semakin cenderung untuk memuat naik kandungan berunsurkan keganasan dan memalukan ke internet atau laman web tanpa menyedari ia sebahagian daripada aktiviti jenayah siber,” katanya kepada XY – Ikon Lelaki. 

Umumnya, sejak internet diperkenalkan, pelbagai langkah sudah diambil pihak berkuasa bagi memastikan orang ramai mematuhi adab menggunakan ruang maya tanpa mendatangkan kemudaratan kepada pihak lain. 

Antaranya, penguat kuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia di bawah Seksyen 223: yang menyatakan, sebarang komen, permintaan, cadangan atau komunikasi yang berbunyi kelucahan, mencabul, salah, ancaman, menyerang atau menyakiti dengan tujuan menjengkelkan, menganiaya, menakutkan atau mengganggu pihak lain. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun. 

Bahkan, Effendy berkata, jika dibiarkan gejala pembuli siber ini berleluasa dikhuatiri ia akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk kepada masyarakat termasuk seperti kes di India di mana ia berlarutan di luar ruangan siber menyebabkan pembuli secara berterusan mengejar serta membuli mangsa dengan lebih serius. 

Beliau berkata, dalam kes yang lebih berat pula, pembuli siber boleh meleret dan bertukar ke jenayah siber yang lebih berat dan bahaya hingga mengancam keselamatan pihak yang dibuli seperti menyerang atau mengintip mangsa. 

“Kesan mendalam dilihat kepada mangsa buli di mana ia boleh mengganggu perasaan, prestasi pelajaran atau pekerjaannya merosot sehingga sekiranya ia bertambah parah, boleh menyebabkan mangsa bertindak di luar kawalan dengan membunuh diri. 

“Ini pernah dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat (AS) apabila tiga kanak-kanak berusia 12 hingga 13 tahun membunuh diri akibat tidak tahan dibuli oleh penjenayah siber. 

“Justeru, remaja sebagai golongan paling berisiko tinggi perlu sentiasa menjaga tertib ketika menggunakan ruang siber walaupun golongan ini pada zaman sekarang menganggap mereka sudah mengetahui selok belok ruang internet, kita melihat mereka masih mentah dan mudah dipengaruhi dengan emosi sehingga boleh mencetuskan pelbagai masalah besar,” katanya. 

Tanggung jawab mendidik dan menjauhkan golongan remaja dan kanak-kanak daripada terjerumus dengan aktiviti pembuli menjadi tanggung jawab sosial semua pihak. Ini termasuk kerajaan melalui kempen dan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan, guru yang memahami, mendidik dan menitik beratkan soal tertib dalam internet hingga keluarga dan remaja terbabit. 

Pelbagai kempen kesedaran pada tertib menggunakan internet kini dilakukan secara besar-besaran termasuk yang terbaru, kempen menerusi laman web CyberSAFE yang turut menganjurkan pertandingan berasaskan kempen kesedaran ini di laman sosial Facebook bagi menarik perhatian golongan remaja. 

Effendy berkata, tanggung jawab mendidik seharusnya terletak sepenuhnya kepada ibu bapa yang perlu memahami dan mengetahui aktiviti anak-anak ketika melayari internet seterusnya peka melihat perubahan kepada sikap anak mereka sekiranya mereka menjadi mangsa buli. 

Katanya, langkah awal yang boleh diambil oleh pihak keluarga adalah dengan melengkapkan komputer rumah dengan perisian yang boleh memantau aktiviti kanak-kanak dan menghalang atau memberi amaran kepada mereka daripada memasuki ruangan yang bahaya seperti yang ditawarkan dibawah Symantec iaitu OnlineFamily.Norton dan Norton 360 Cyber Safety Index. 

“Melalui langkah ini, ibu bapa dapat mendekatkan diri untuk memantau aktiviti anak-anak dan menasihatkan mereka berdasarkan kecenderungan mereka melayari internet. Ini dapat memastikan proses mendidik dilakukan secara berterusan,” katanya.

Kalkulator Google

Hello Pembaca RahsiaSiber,

Hari ni saya nak ceritakan tentang aplikasi kalkulator pada enjin carian google.  Google sebenarnya mampu melakukan operasi tambah, tolak, darab, bahagi serta punca kuasa dua dan banyak lagi. Lepas ni anda tak perlulah susah-susah cari kalkulator untuk kiraan mudah. Tanya je kat pakcik google tu. Caranya ialah anda taip je angka dan tanda operasi matematik di kotak pencarian google dan klik butang carian  atau tekan je butang enter kat keyboard tu. Contoh pengiraan :  3*4-5 dan hasilnya seperti dibawah.

kalkulator google

Penipuan e-Perbankan kini makin serius


ORANG ramai dinasihatkan tidak menyerahkan maklumat diri kepada pihak ketiga. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Kes penipuan siber e-Perbankan kini terbukti semakin serius apabila Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendedahkan mereka menerima lebih 100 aduan dalam tempoh dua bulan tahun ini berbanding 200 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Setiausaha Agung FOMCA, Muhammad Shaani Abdullah berkata, selain kes penipuan melibatkan e-Perbankan, terdapat juga aduan yang diterima mengenai usaha mencuri identiti pengguna untuk digunakan dalam perlakuan jenayah siber lain.

“Kes ini semakin meluas dan masalah ini berlaku kerana pengguna kurang mengetahui mengenai perkara ini.

“Sebagai pengguna, kita harus ingat bahawa kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyerahkan maklumat identiti diri sama ada kata laluan atau sebagainya kepada pihak kedua,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

sumber artikel : kosmo.com.my

Tips Khas Sempena Hari Raya

Salam pembaca RahsiaSiber yang budiman,

Hari ini saya tiada apa-apa tips dan panduan siber untuk dikongsi bersama anda semua. Cuma saya ingin berkongsi beberapa tips sempena raya. Sebelun itu, di kesempatan yang terbatas ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua kerana memberi sokongan terhadap perkembangan blog ini dan saya berazam untuk memberi yang terbaik untuk dikongsi bersama.

Rasanya belum terlambat lagi untuk saya mengucapkan selamat berpuasa dan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakan-rakan yang beragama Islam. Oh ya, terasa masa berlalu dengan sangat pantas. Rasanya baru semalam mula berpuasa dan dalam sedar tak sedar, beberapa hari saja lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya.

kad1

Emm, bagaimana dengan persiapan raya tahun ini? Harap semuanya bagus-bagus belaka. Untuk makluman anda semua, saya akan balik kampung pada hari jumaat, 18 September 2009. Anda pula bagaimana? Ok, di sini saya ingin berkongsi tips sempena hari raya yang bakal menjelma tak lama lagi. Antaranya ialah, dalam kita dok sibuk untuk balik ke kampung halaman masing-masing, jangan lupa ya untuk menjaga harta benda dan keselamatan diri. Sekarang ini banyak kes pecah rumah tatkala penghuni pulang ke kampung untuk berhari raya. Jadi, kita perlu ambil langkah-langkah  yang sewajarnya untuk memastikan  rumah kita selamat.

Antara langkah yang wajar diambil ialah dengan mendaftar rumah kita di balai polis yang berhampiran supaya pihak berkuasa dapat mengawasinya. Selain itu, maklumkan kepada jiran supaya tengok-tengokkan rumah sementara kita balik kampung. Pastikan rumah kita dikunci dengan baik dan segala peralatan elektrik berkeadaan baik dan suis ditutup dengan sempurna. Ini untuk mengelakkan berlakunya litar pintas dan sebagainya.

Manakala yang keduanya ialah, kepada anda yang memandu kenderaan untuk balik ke kampung pastikan kenderaan berada dalam keadaan sempurna sebelum memulakan perjalanan. Rancang perjalanan dengan baik dan pastikan kesihatan kita berada dalam keadaan yang baik dan sentiasa bersabar setiap masa. Maklumla, semua orang ingin balik ke kampung dan ini menyebabkan kesesakan teruk di jalanraya. Harap kita semua dapat bersabar dan memandu dengan berhemah.

Opps! dah meleret-leret la pulak.hehe. Itulah beberapa tips yang dapat saya kongsikan pada kali ini. Semoga kita semua mendapat manfaat darinya.  Sebelum saya bersiap-siap untuk ke tempat kerja, sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada anda semua dan Maaf  Zahir dan Batin.  Pandulah dengan cermat dan selamat bergembira di hari yang mulia ini.

Jumpa lagi.

Salam Ikhlas,

khairul ariffin hamzah a.k.a khairole

kredit gambar : reezluv media